BUAH Kurma atau dalam Bahasa Arabnya ‘tamar’ tergolong dalam keluarga palma seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat yang tinggi dan kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral atau galian seperti besi, kalsium, sodium dan potassium. Khasiat yang tinggi dalam kurma diangkat martabatnya oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis baginda yang bermaksud :
“Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan.”
Umat Islam disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan selama 12 jam. Kurma mampu menyumbang tenaga serta merta kepada si pemakan dan ini memudahkan seseorang beribadat dalam keadaan tubuh yang bertenaga dan segar serta menghalang makan berlebihan tatkala berbuka dengan memakan makanan yang kurang berkhasiat.
Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 per seratus, serat 2.0 hingga 4.0 per seratus di mana kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semula jadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakkan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi surkosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.
Serat buah kurma amat baik untuk pelawasan serta mencegah barah usus besar. Sementara vitamin A dan C yang tinggi sangat baik untuk meremajakan kulit (awet muda). Kandungan potassium yang tinggi dalam kurma amat baik untuk sistem saraf, lemah otot, sengal-sengal, badan letih, lesu, tekanan serta menguatkan ingatan (minda). Zat besi dan kalsium dalam kurma juga sangat baik sebagai sumber tenaga untuk ibu lepas bersalin dan menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ia juga berperanan dalam membantu pembesaran kanak-kanak, pembentukan darah dan sum-sum tulang. Kurma juga dikatakan menambah tenaga seksual atau tenaga batin.
BUAH TIN PELIHARA ORGAN TUBUH
KEPERCAYAAN mengatakan buah tin (Fircus Carica/Fig) adalah buah suci dari taman syurga. Sejarah mencatat buah tin berasal dari Timur Tengah sejak 4000 tahun masihi. Buah tin mempunyai banyak biji, manis buah, lazat rasanya, harum baunya, empuk dan mengandungi sedikit air dan termasuk di dalam kategori buah mewah.
Berdasarkan kajian California Fig Information, buah tin kering mengandungi serat (fiber) yang sangat tinggi. Setiap 100 gm buah tin kering terkandung 12.20 gm serat sedangkan epal hanya 2.0 gm. Pakar kesihatan sangat menggalakkan makan buah tin untuk membantu membersihkan racun dalam tubuh, mencegah kanser usus dan penyakit berkaitan dengan perut.
Hasil kajian Universiti Rutgers di New Jersey membuktikan buah tin mengandungi antioksidan dengan menghalang karsinogen yang menjadi punca kanser. Buah tin juga mengandungi vitamin A, vitamin C, kalsium dan zat besi yang sangat diperlukan untuk memelihara kesihatan organ tubuh badan manusia. Antara khasiat buah tin yang telah dikenal pasti ialah mengatasi penyakit buasir, sakit-sakit atau bengkak-bengkak badan, batuk yang berpanjangan, melawas air kencing, menyah toksik, melicinkan tekak atau dada, mencuci hati atau jantung dan membersihkan lendir pada usus.
KISMIS BAIK UNTUK MINDA
HADIS mengatakan bahawa sesiapa yang ingin menghafal atau memerlukan ingatan yang kuat hendaklah kerap memakan anggur kering (kismis). Makanan tambahan untuk seisi keluarga yang penuh berkhasiat bagi meningkatkan daya ingatan serta penghafalan. Amat baik dimakan oleh kanak-kanak yang sedang membesar.
Selain daripada itu, kandungan zat vitamin dan galian yang terdapat di dalam buah kismis telah dikenal pasti mampu mengelakkan pelbagai jenis penyakit antaranya menguatkan jantung, menghilangkan panas, menghilangkan lendir, menyejukkan badan, menguatkan saraf, memulihkan kesihatan jiwa, mengatasi keletihan, mencerahkan warna kulit dan mengharumkan bau hidung dan mulut.








Comments
RSS feed for comments to this post.